Kuasa politik dan kuasa agama

March 28, 2010

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.

Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.

Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Begini…

Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?

Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila ‘iman rakyat’ dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan ‘Tuhan’ atau ‘pegangan agama’ adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.

Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai ‘tuhan’ atau ‘jelmaan Tuhan’ adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai ‘iman rakyat’.

Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau ‘Tuhan’, tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.

Orang Agama

Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian ‘penguasaan politik’ atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.

Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang ‘senior’ tidak mahu memberi laluan kepada ‘imam junior’ di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun ‘pengaruh politik agama’ amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?

Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana ‘kemaruk kuasa’ seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H): “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).

Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.

Perkongsian dan pertarungan kuasa

Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.

Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.

Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.

Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.

Islam Dan Pemerintah

Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.

Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infaillible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teksal-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.

Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya) “Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ 59).

Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).

Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara ‘membabi buta’ (blind imitation). Antaranya, sabda Nabi s.a.w: “Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam dan ulama

Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-’Araf ayat 75-76.

Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman. Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran: “Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)”. Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah dan ulama

Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu. Sabda Nabi s.a.w: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah”. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Inilah Perbezaannya…

Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.

Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!

Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan ‘tidak boleh mengkritik mufti’ atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan ‘tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!

Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan ‘panel kurang selesa’ atau ‘panel agama merasa keliru’ maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!

Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama ‘adat menyembah raja sehingga merangkak’ direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan ‘sambungan jawatan’! Demikianlah seterusnya..

Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama ‘pintar dan putar’ antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku…

SUMBER: http://malaysiakini.com/news/127725

Gerakan Dakwah dan Pecutan Teknologi ICT

March 18, 2010

oleh Mr. Blogger G.Merah

Bismillahirahmanirrahim…

Perkembangan dunia ICT sekarang amat mengkagumkan saya.  Gelombang Web 2.0 telah melanda dunia umpama tsunami yang melanda kepulauan Acheh dan Sri Langka pada  2004. Dengan perkembangan teknologi pemindahan data ditambah lagi dengan kadar tembusan yang tinggi rakyat Malaysia kepada talian Internet, teknologi ini wajar dimanfaatkan sebaik baiknya terutamanya bagi gerakan dakwah islamiah.

Gerakan dakwah perlu mengubah paradigma mereka. Di alam maya, kumpulan sasaran lebih luas, teknologinya pelbagai, mudah diakses dan mereka harus mencuba.  Saya begitu tertarik dengan sebuah masjid di Malaysia yang membentuk satu Group dalam laman Facebook untuk mengutip dana. Satu usaha yang kreatif dan sudah pasti wajar dicontohi oleh masjid masjid yang lain.

Saya ingin mengajak anda menyelusuri teknologi yang wujud serta peluang yang mungkin boleh digunakan untuk memantapkan usaha dakwah. Cadangan yang saya kemukakan atas pengalaman dan amatan saya terhadap perkembangan teknologi internet masa kini.

BLOG

Blog dilihat seringkali dijadikan senjata politik yang ampuh untuk berkempen meraih undi, menyampaikan ideologi serta mengkritik sesuatu isu. Terdapat juga blog dengan tujuan untuk berkongsi pengalaman, log catatan harian serta untuk perniagaan. Mak Limah pun sudah membuka blog untuk mempromosi  kerepek ubi keluarannya.

Kelebihan yang ada pada blog adalah ianya percuma, kandungannya yang dinamik, mudah diuruskan dan segala galanya mudah. Blog yang baik merupakan blog yang sentiasa dikemaskini serta memaparkan kandungan yang berkualiti dan menarik.  Bagi usaha dakwah saya mencadangkan wujudkan blog yang hanya memberi fokus kepada isu isu tertentu sahaja. Sebagai contoh, mengenai solat. Mungkin blog tersebut memaparkan informasi ibadah tersebut dan memaparkan pelbagai sumber rujukan untuk memantapkan solat.

Nama juga memainkan peranan penting dalam usaha mempromosikan blog tersebut, cari nama yang menarik seperti SmartSolat, SolatTuneUp dan sebagainya. Untuk mendapat kunjungan yang ramai, sedikit promosi perlu dilakukan.

RANGKAIAN SOSIAL

Rangkaian sosial pula merupakan satu cetusan hebat web generasi kedua.  Laman web rangkaian sosial berkembang dengan pesat sebagai satu medium komunikasi popular  masa kini. Kemunculan Myspace, Friendster, Facebook, Twitter, Flikr serta beberapa lagi telah membentuk beberapa kumpulan komuniti maya berskala besar yang mengumpulkan manusia dari seluruh dunia. Laman  rangkaian sosial paling besar, Facebook (www.facebook.com)  yang diasaskan Mark Zuckerberg mempunyai lebih 60 juta ahli yang aktif sejak ditubuhkan pada 4 februari 2004.Kumpulan ini akan semakin membesar dengar penyertaan rakan baru dari pelbagai peringkat umur dan warna kulit.

Peluang disini amat besar. Seperti yang saya sebutkan tadi, sebuah masjid telah pun menggunakan wadah ini untuk mencari dana untuk pembangunan umat Islam. Banyak lagi idea idea baru yang mungkin kita tidak mampu fikirkan sekarang yang akan memanfaatkan umat Islam di seluruh malaysia. Sebagai contoh, bagi seorang penceramah berpengaruh, beliau boleh membina akaun Twitter dan memaparkan aktiviti ceramah yang bakal diperdengarkannya. Dengan penyebaran maklumat ini, bayangkanlah jika ustaz tersebut mempunyai 10000 follower tidak mustahil akan penuh masjid yang beliau akan kunjungi.

WIKI

Wiki menjadi satu platform baru yang  unik dalam penyebaran maklumat. Melalui wiki pengguna bebas memasukan maklumat dan melakukan suntingan terhadap data data untuk memperkayakan lagi sesuatu infomasi.  Perkembangan ini membuka satu lembaran baru dalam dunia pendidikan terutamanya. Enseklopedia bebas Wikipedia (en.wikipedia.org) merupakan contoh terbaik bagaimana sistem wiki berfungsi sebagai sebuah sumber rujukan pendidikan dalam pelbagai bahasa.

Selain itu inovasi terkini wiki diperkenalkan oleh Wikispaces (www.wikispaces.com) sebagai salah satu platfom perkongsian maklumat. Potensi penggunaan sistem wiki amat luas dan mampu berkembang pada masa akan datang dalam pelbagai bidang yang lain.  Dalam usaha dakwah, Wiki boleh digunakan sebagai satu platform rujukan dan pengkalan data ilmu pengetahuan atau perpustakaan mengenai  Islam.

LAMAN WEB

Kini, laman web bukan lagi bersifat statik, kandungan web sekarang lebih bersifat interaktif melibatkan komunikasi pelbagai cara. Setiap masjid harus mempunyai laman web tersendiri untuk menyampaikan maklumat menegenai aktiviti khariah mereka disamping melampirkan bahan bahan berunsur dakwah. Mereka juga boleh memaparkan gambar serta aktiviti yang diadakan di masjid agar menjadi rujukan kepada masjid masjid lain untuk . Laman web juga boleh digunakan untuk meyiarkan bahan bahan ilmiah mengenai Islam.

Banyak lagi teknologi yang ditawarkan seperti Podcast, e-Commerse, RSS, laman forum dan sebagainya. Isu yang mungkin wujud dalam usaha memanfaatkan teknologi ini adalah ilmu pengetahuan serta kemahiran mengenai ICT. Saya mencadangkan kepada pendakwah duduk semeja bersama personel yang mahir dalam ICT dan memikirkan penyelesaian dakwah secara maya. Mungkin mereka boleh mewujudkan skuad maya dan membina sebuah laman web sebagai rujukan dan mengajar strategi berdakwah melalui internet.

Kesan ICT begitu hebat. Revolusi teknologi Internet ini membuka lembaran baru mengenai cara hidup serta cara berkomunikasi masyarakat global. Peluang yang ditawarkan oleh dunia ICT begitu luas bagi mereka yang berpengetahuan dan bijak memanipulasikan teknologi.

Namun yang demikian, usaha dakwah perlu dilakukan dengan berhemah, sederhana dan tidak mengangu keselesaan penganut agama lain. Jangan terlalu ektremis dalam mempromosikan agama di alam maya. Biarlah pendekatan yang digunakan penuh hikmah dan menggambarkan agama Islam yang kita anuti.

“Dell’arte della guerra”

January 7, 2010

OLEH: M.O

Seorang penulis Itali,yang juga seorang negarawan dan ahli politik telah menuliskan di dalam sebuah karyanya yang terkenal di kalangan ahli politik dunia terutama diktator-diktator,tentang kecerdikan.Beliau menulis,”kaedah pertama untuk menimbangkan kecerdikan seorang pemerintah ialah dengan melihat siapa yang berada di sekeliling dia”.

Ini ada benarnya,kerana adakalanya seorang pemimpin yang berkaliber dan berbakat boleh jatuh kerana sahabat-sahabatnya.JIka pemimpin itu amat rapat dengan isterinya atau teman wanitanya,maka perempuan tadi juga berupaya menaikkannya atau menjatuhkannya hingga jatuh tersepuk dan diinjak-injak hina.Para penyokong yang zahirnya menyokong dan menjulang pemimpin itu,pada masa yang sama boleh menjatuhkannya berdebab di atas jalan raya.Pemimpin yang bodoh apabila dikelilingi manusia-manusia yang cerdik,maka kemungkinan besar dia akan nampak cerdik.Pemimpin yang cerdik namun para pembantunya kesemuanya adalah manusia dungu dan biol,cenderung ‘membiolkan’ pemimpin itu mencapai tahap biola dan dia akan nampak bodoh.Ini berlainan pula dengan kes para pelajar dalam satu bilik darjah.Pelajar yang pintar apabila duduk bersama-sama pelajar-pelajar dungu,ini akan menyerlahkan lagi kepintarannya.Begitu juga pelajar yang dungu apabila sekelas dengan para pelajar pintar,ini akan membogelkan lagi kedunguan dan kelembapannya.

Namun dari segi sosial,hukumnya terbalik.

Ini yang terjadi kepada Pas.Setelah bertahun-tahun berjuang di arena politik,Pas nampaknya amat sukar untuk bernafas di dalam kotak undi berbanding pesaing utamanya yang bukan sahaja duduk selesa di dalam kotak undi,malah boleh ‘kenyang memakan’ kertas-kertas undi tersebut.Bertahun-tahun Pas dan DAP berjuang secara berasingan dan cara ini nampaknya seolah-olah hidup segan mati tak mahu.Berhadapan dengan era Mahathir (1981-2003) yang memakan masa 22 tahun adalah detik-detik yang teramat sukar dengan polisi Mahathir yang bijak mengawal media dan keunikan sikap diktatornya.

Dr. Mahathir adalah contoh seorang negarawan.Beliau bukan sekadar ahli politik.Dr. Mahathir (Tun) adalah ‘a statesman’ bukan sekadar ‘a politician’ tambahan pula seorang doktor biasa.Dr. Mahathir bijak ‘memakai’ jawatan Perdana Menterinya.Walaupun menghadapi saat-saat sukar untuk ke puncak terutamanya ketika mengalami konflik dengan Tunku Abdul Rahman,nampaknya harga mahal yang dibayar Dr. Mahathir untuk kerusi Perdana Menteri Malaysia amat berbaloi.Bak kata pepatah,alah membeli menang memakai.

Dr, Mahathir adalah seorang ‘diktator’.Ini tidak boleh dinafikan.Semua orang tahu sikap ‘tegas’ Dr. Mahathir.Namun,Dr. Mahathir adalah contoh seorang diktator yang berperisa kemelayuan.Kediktatoran Dr. Mahathir ada ‘style’ yang tidak akan kita jumpa pada mana-mana diktator dunia yang lain.Periksalah Fidel Castro.Kajilah Muammar Gaddafi.Tanyalah pada Pol Pot.Anda tidak akan jumpa seorang diktator versi Dr. Mahathir.Seorang diktator Melayu yang aneh.

‘Diktator Melayu Terakhir’

Pakar sejarah Malaysia patut membuat tesis tentang gaya diktator Melayu Dr. Mahathir.Kemudian bandingkan dengan Sultan Mansur Syah,pemerintah Melaka.Bandingkan dengan Hayam Wuruk,Maharaja Mahapahit.Dr. Mahathir bijak mengawal keriuhan di dalam politik Malaysia.Walaupun keriuhan yang dasyat akibat bekas timbalannya yang ‘memberontak’,namun Dr. Mahathir mampu menanganinya.Ketika itu seorang ‘diktator’ lain tewas dengan reformasi,namun Dr. Mahathir mampu menentang arus reformasi tanpa menggugah takhtanya.Walaupun kita tidak boleh membandingkan masalah yang dihadapi Suharto dengan Dr. Mahathir (Indonesia adalah berkali ganda luas dari Malaysia dengan jumlah penduduk yang amat ramai) namun kita boleh melihat keupayaan Dr. Mahathir mengawal Malaysia apabila jatuh ke tangannya.Mengapa kita katakan Dr. Mahathir sebagai seorang diktator berperisa kemelayuan?Kerana kita dapat melihat ciri-ciri pemerintahan yang bersifat tabiat orang Melayu pada perilakunya walaupun dalam acuan seorang diktator.Inilah sebab mengapa beliau dihormati oleh lawan dan kawan.

Diktator China seperti Mao Zedong tidaklah seperti ‘Kediktatoran Melayu’ ala Mahathir.Diktator-diktator Komunis China amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.Musuh-musuh politiknya diracun dan diseksa seperti haiwan.Sebab itu Chin Peng pun merengek-rengek mahu pulang ke Sitiawan kerana dia pun tahu orang-orang Melayu tidak sekejam dan ‘sebinatang’ komunis China walaupun penduduk negeri China sebangsa dengannya.Apa salahnya jika dia tetap tinggal di China,bukankah dia hidup selesa di tanah air nenek moyangnya?Atau ada ‘agenda’ yang lain?

Diktator Kemboja tidak mengamalkan Kediktatoran Melayu versi Mahathir.Pol Pot membunuh dan menyeksa berjuta rakyatnya hingga berjaya mengumpul koleksi tengkorak rakyatnya buat tatapan pelancong.Diktator Arab juga gagal menghayati konsep Kediktatoran Melayu.Saddam Hussein tidak pandai berpolitik dengan Yahudi dan Amerika sehingga membuat ‘Syaitan-syaitan Besar’ itu terancam.Lihat Dr. Mahathir.Malaysia masih selamat walaupun beliau mengutuk Yahudi terang-terangan di persidangan antarabangsa.Diktator Parsi seperti Khomeini pun diprovok Amerika apabila ‘cuba meniru’ gaya Dr. Mahathir.Apa silapnya Khomeini?

Bezanya,Dr. Mahathir mengutuk Zionis Yahudi secara ‘cakap berlapik’.Diktator Parsi mengutuk Yahudi dan Amerika secara kasar ala-ala Kisra Parsi yang suka berperang.Dr. Mahathir mewarisi kebijaksanaan Tun Perak yang menggunakan KELEMAHAN yang sedia ada,menjadi KEKUATAN yang membuatkan musuh terpaksa beralah.Inilah gaya Kediktatoran Melayu.Sopan,lemah-lembut tetapi berbisa.

Baca selanjutnya di Mistisfiles

Sumber: http://mistisfiles.blogspot.com

Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah

January 5, 2010

OLEH: DR. MOHD ASRI ZAINAL ABIDIN

Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: “Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan.

Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.

Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.

Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.

Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?

Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).

Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.

Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.

Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,

Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).

Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian,

Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).

Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.

Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.

Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.

Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!

Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.

Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.

Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3).

Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.

Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sessi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.

Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?

Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.

Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.

Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

SUMBER: http://drmaza.com/home/?p=566

Had retorik dan isu politik

December 25, 2009

OLEH: ABDUL AZIZ ISMAIL

Mencipta isu menjadi senjata penting parti politik menambat hati rakyat dan pengundi supaya sentiasa sedar tentang kehadirannya dan kewujudan pemimpinnya. Dari masa ke semasa isu baru perlu dicipta atau membaharui isu lama yang boleh mendorong sensitiviti rakyat supaya sedar tentang keaktifan parti itu yang sentiasa tidak kering dengan idea menghidupkan minda rakyat.

Tanpa mencipta isu – apalagi yang panas dan sensasi – pemimpin sesebuah parti itu dianggap tidak bijak berpolitik dan secara perlahan-perlahan boleh dilupakan kehadirannya kecuali parti lawannya juga menunjukkan prestasi yang sama.

Tetapi jika pihak lawan sudah jauh ke hadapan dengan segala agenda pembangunan dan slogan kemajuan yang menyuntik kesedaran rakyat khususnya golongan bawahan, kehadiran parti itu boleh “disenyapkan” dan mungkin dilupakan begitu saja.

Maka itu parti patut segera bangkit mengatur startegi mencari isu baru yang berkualiti bagi menangkis dan mematahkan perancangan parti lawannya. Atau pemimpin parti itu mencipta isu-isu baru yang boleh menyakinkan rakyat dengan perancangan yang teratur.

Jika ini dapat dibuat, parti itu kelihatan hidup dan sentiasa dalam ingatan rakyat. Namun, isu yang dibangkit harus dapat dilaksanakan untuk kebaikan rakyat dan bukan semata-mata retorik politik yang sedap didengar tetapi gagal direalisasikan.

Isu yang diutarakan harus relevan dan menyakinkan kerana rakyat boleh menilai sendiri sesuatu isu itu benar-benar memberi faedah kepada mereka atau sebaliknya.

Isu yang diketengahkan harus mengarah kepada keuntungan rakyat terbanyak secara keseluruhan  dan bukan gimik politik atau cakap-cakap kosong yang semata-mata dibuat bagi menyedapkan hati mereka.

Isu yang dibangkit juga harus boleh mengubah persepi hidup rakyat kepada kehidupan yang lebih nyata  dan realistik bersandarkan perancangan fakta yang boleh direalisasi  dan bukan janji-janji manis yang tidak boleh dicapai.

Rakyat tidak boleh dikelirukan dengan isu yang kononnya bagus, panas dan membangkitkan semangat mereka tetapi mempunyai agenda tersembunyi yang menguntungkan pemimpin tertentu saja  serta segelintir penyokong yang setia.

Rakyat tidak boleh disogokkan dengan isu-isu yang popular dan menyerang peribadi tertentu untuk menangkap minda rakyat. Ia harus mendedah situasi sebenar dan fakta kejadian yang betul supaya rakyat mendapat gambaran tepat dan rasa tidak tertipu tentang sesuatu isu itu untuk dinilai dan dikaji secara objektif.

Seringkali isu yang didedah tidak melebar kepada kepentingan rakyat terbanyak seperti yang diharapkan kerana pemimpin itu menggunakan isu untuk perluasan pengaruh dan cengkamannya kepada parti akibat dari merosotnya populariti serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.

Ada juga pemimpin yang sengaja mencipta isu untuk menutup kelemahan diri akibat daripada kemasyhuran pemimpin pihak lawan yang semakin mendapat perhatian rakyat.

Isu sepatutnya dicipta demi kebaikan rakyat dan untuk rakyat yang sudah memberi undi kepercayaan kepada parti yang menang dalam pilhan raya lalu.

Rakyat mahu melihat hasil dan perkotaan kata dan janji yang sudah ditabur dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu dan mahukan perlaksanaannya. Pemimpin yang menang tidak boleh menyalahkan parti lawan tanpa melihat ke dalam diri tentang kelemahan dan sumbangan mereka kepada rakyat secara objektif.

Permainan isu yang bukan benar dan sengaja diada-adakan tanpa asas kukuh boleh mengelirukan dan merosakkan fikiran rakyat. Walapun pada mulanya ia mungkin boleh diterima, tetapi lambat laun ia menjadi bahan ejekan dan sindiran yang memakan diri dan parti sendiri.

Ketika ini kebanyakan rakyat semakin bijak dan melihat situasi yang berlaku di depan mata dengan fikiran terbuka dan kritis.

Retorik politik ada had dan waktunya. Pada awalnya ianya memang menyeronokkan dan sedap didengar. Tetapi apabila waktu berlalu dan kesedaran rakyat wujud, cakap-cakap politik yang tidak bermakna menjadi cemuhan rakyat yang boleh menjejas kredibiliti pemimpin serta peluang parti itu dalam pilihan raya akan datang.

Sumber: http://www.harakahdaily.net

Pemanasan Global: Menangani “Amarah Alam”

December 25, 2009

OLEH: BERNAMA

“Kita akan mewariskan dunia yang amat panas kepada anak, cucu dan cicit kita.” Ini adalah antara intipati perbualan Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, ketua Jabatan Geografi, Universiti Malaya dengan Bernama di sini baru-baru ini. Dalam wawancara tersebut, Prof Azizan membincangkan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini yang bertemakan “Perubahan Iklim.” Sebagai profesor meteorologi dan mengajar bidang alam sekitar, bicara Prof Azizan dibayangi rasa penuh kebimbangan. Namun, berapa ramaikah rakyat Malaysia akan berasa cemas dengan kenyataan yang dibuatnya serta laporan semasa mengenai pemanasan global atau peningkatan suhu bumi?

Jawapannya “tak ramai” jika mengambil kira pandangan Prof Azizan bahawa, atas skala 10, kesedaran rakyat Malaysia mengenai pemanasan global hanya sekitar tiga atau empat — satu penunjuk nyata bahawa rakyat Malaysia rata-rata tidak memberi perhatian berat kepada isu-isu alam sekitar.

BUMI SEMAKIN PANAS
Di peringkat global, suhu bumi telah meningkat sebanyak kira-kira dua darjah dan kenaikan ini berbeza dari satu rantau ke satu rantau yang lain. Kawasan Artik umpamanya semakin menjadi panas pada kadar yang lebih pantas berbanding bahagian lain dunia.Bagaimanapun, rekod serta pengawasan saintifik menunjukkan bahawa bukan sahaja bumi semakin panas tetapi hakikatnya perubahan tersebut berpunca daripada perbuatan manusia sendiri.”Ahli sains kini pasti dan amat yakin bahawa 98 peratus pemanasan global yang kita alami sekarang berpunca daripada pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil yang telah dilakukan sejak abad ke-18.

“Sekarang kita ada dua masalah. Apabila tahap karbon dioksida meningkat, kesan rumah hijau menjadi lebih kuat dan ini akan meningkatkan suhu.”Apabila suhu meningkat, bumi akan bertindak kepada peningkatan suhu yang akan membawa kepada perubahan iklim,” jelas Prof Azizan yang membuat ulasan berdasarkan Laporan Penilaian Keempat (Perubahan Iklim 2007) Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim (IPCC). IPCC merupakan badan peneraju penilaian perubahan iklim, ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memberi pandangan yang lebih jelas dan seimbang mengenai keadaan pemahaman perubahan iklim dewasa ini. Ditubuhkan pada 1988 oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia serta Program Alam Sekitar PBB, kegiatan terasnya adalah menyemak dan menilai maklumat saintifik, teknikal dan sosio-ekonomi yang terkini. Laporan 1 (1990) dan 2 (1995) IPCC menggambarkan banyak ketidakpastian dan kebanyakannya adalah negatif, maknanya menjejaskan manusia atau tamadunnya. Laporan ketiga (2001) berkisar kepada “Menangani Perubahan Iklim.”

KETAGIHAN BAHAN BAKAR FOSIL
“Iklim tidak statik tetapi perubahan yang kita alami sekarang berlaku pada kadar yang amat pantas. Kitaran bumi untuk perbezaan iklim yang paling pendek ialah 10,000 tahun tetapi sekarang yang dibincangkan ialah kira-kira 100 tahun, jarak hanya 2 generasi sahaja. “Persoalannya sekarang ialah sama ada kita masih berpegang kepada ketagihan bahan bakar fosil. Sejak abad ke-18 apabila kita bertukar kepada bahan bakar fosil daripada sumber asas air atau kayu, dunia semakin ketagih kepada bahan bakar fosil. Seperti ketagihan lain, kita perlu keluar daripada ketagihan ini,” ujar Prof Azizan.
Beliau beranggapan masyarakat negara ini secara umumnya tidak prihatin kepada isu karbon dioksida kerana mereka tidak dapat melihat impak gas tersebut memandangkan ianya tidak berbau dan bukan toksik.

Menurut Prof Azizan, konsentrasi karbon dioksida di atmosfera telah meningkat daripada kira-kira 280 bahagian sejuta (ppm) dicatat di kurun ke-18 (sebelum era revolusi perindustrian) kepada 379 ppm pada tahun 2005. “Kita mungkin berhadapan dengan 700 ppm menjelang tahun 2099 sekiranya kita meneruskan cara hidup kita sekarang. Jika kita perhatikan planet lain seperti Marikh, suhunya kira-kira 400 darjah celcius dan 90 peratus daripada atmosferanya adalah karbon dioksida. Hampir tiada kehidupan di sana. “Kita taklah seperti Marikh tetapi dijangkakan jika kita meneruskan apa yang kita lakukan sekarang dan tidak menangani tahap pelepasan karbon dioksida dengan mengurangkan pembakaran bahan bakar fosil, kita akan memberikan dunia yang amat panas untuk anak, cucu dan cicit kita,” kata Prof Azizan dengan nada bimbang.Beliau menambah IPCC telah mencadangkan supaya tahap karbon dioksida di atmosfera distabilkan kepada “paras yang boleh diuruskan iaitu 450 ppm”.

KEBIMBANGAN ABAD KE-21
Menurut Prof Azizan, bumi mengalami suhu yang meningkat sejak tahun-tahun 90an.
Beliau memberikan contoh iklim panas melampau di Perancis, iklim lebih panas di rantau Siberia dan pencairan “permafrost (lapisan tanah yang kekal beku di rantau paling sejuk) terutamanya di rantau Artik. “Tetapi apa yang paling serius, pada pandangan saya, ialah apa yang akan berlaku pada abad ke-21. Ahli sains meramalkan keseluruhan ais laut di Artik akan cair pada musim panas 2099. “Litupan ais Greenland mungkin juga akan mencair. Satu lagi yang dijangka mengalami nasib yang sama tetapi buat masa ini tidak ada banyak bukti ialah litupan ais Antartika Barat. Jika itu pun cair, paras laut akan meningkat kira-kira 7 meter,” kata Prof Azizan, nadanya bimbang. Apakah langkah mengurangkan pembakaran bahan bakar fosil jawapan kepada menghentikan impak pemanasan global? “Kalau pun kita mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil, tak banyak yang dapat kita lakukan untuk menukarkan keadaan. Untuk menghapuskan konsentrasi karbon dioksida di dalam atmosfera, ianya mengambil masa antara 200 atau 300 tahun,” jelasnya, dengan menambah tentangan kepada langkah mengurangkan pembakaran bahan bakar fosil mungkin datang dari negara-negara yang sedang pesat membangun seperti China dan India. Di samping bahan bakar fosil, perubahan penggunaan tanah, katanya menyumbang kepada kira-kira 30 peratus pelepasan karbon dioksida.

IMPAK SELURUH DUNIA
Di negara ini, meskipun Malaysia bukan penyumbang utama pelepasan karbon dioksida, kita juga perlu mula memikirkan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Ini adalah kerana kita tidak akan terlepas daripada bahana yang menimpa negara-negara lain! Sebagai sebuah negara dan untuk kesinambungan hidup kita, wajar sekali kita melengkapkan ilmu dan peka dengan pesekitaran kita.
Seperti kata Prof Azizan, “Kita tidak boleh tinggal di dalam tempurung. Pemanasan global adalah ancaman global!” Dengan ramalan peningkatan 7.0 meter paras laut, kawasan rendah seperti Kuala Muda (Kedah) dan Kelantan akan menerima impak teruk. “Sebahagian besar kawasan-kawasan tersebut akan lenyap.

Malahan monsun kita juga akan terjejas. Kita akan menerima lebih banyak hujan sewaktu monsun timur laut, yang bermakna lebih banyak kejadian banjir,” jelasnya. Prof Azizan mengakui masalah utama ialah bagaimana untuk mendapatkan perhatian masyarakat di negara ini.
Bagaimanapun, katanya masyarakat Malaysia perlu dididik bahawa apa yang berlaku di tempat lain akan mempunyai impak langsung ke atas negara ini. “Tsunami 2004. Itu adalah pengajaran terbaik untuk kita. Banjir besar di Johor. Apa yang berlaku menunjukkan apa yang boleh dibuat oleh alam dan apabila alam tidak bertindak seperti yang kita fikir sepatutnya dilakukan kerana alam mempunyai mindanya sendiri,” kata Prof Azizan, dengan menambah bahawa pendekatan yang betul perlu untuk mendidik masyarakat. “Mendidik bukanlah untuk membuat mereka cemas,” tambah beliau.

EKOSISTEM SEMAKIN TERTEKAN
Mengenai keadaan ekosistem dunia, Prof Azizan meluahkan keluhan dengan menyatakan sumber ekosistem yang ada telah digunakan ke paras maksimum dengan penangkapan ikan berlebihan dan pemupusan kawasan besar hutan. “Persoalannya ialah pada kedudukan tamadun manusia dengan penduduk dunia kira-kira enam bilion, banyak sumber asli bumi sedang digunakan. Tak cukup dengan itu, kita cetuskan pula pemanasan global. Berapa banyak lagi tekanan yang boleh diterima oleh bumi?” soalnya. Menurut Prof Azizan, satu perkara yang sedang hangat dibincangkan ialah kemungkinan pemupusan manusia. “Ada pihak berkata bumi, jika suhunya dinaikkan ke tahap yang tertentu, ia dapat menyesuaikan dirinya tetapi apakah manusia dapat menyesuaikan diri kepada ekosistem yang berubah? “Apakah manusia akan pupus? Ini boleh berlaku. Lihat apa yang terjadi kepada dinosaur,” jelasnya lagi.

Di sebalik impak negatif pemanasan global, Prof Azizan berpendapat terdapat juga perkara yang positif termasuk lebih banyak peluang untuk tenaga alternatif.Beliau memberi contoh tenaga nuklear dan solar sebagai alternatif yang berdaya maju. “Malaysia perlu meneroka tenaga nuklear. Ini kita perlu pelajari sendiri. Korea telah melakukannya. Satu lagi pilihan ialah kuasa solar. Kita juga menerima banyak cahaya matahari, kira-kira 300 hingga 400 watt satu meter persegi. “Walau apa pun, kita memerlukan iltizam yang kuat. Ini perlu dituntut oleh orang ramai. Sudah tentunya mereka boleh membuat tuntutan sekiranya mereka tahu isu dan bagaimana isu itu mendatangkan impak kepada mereka,” tegas Prof Azizan.

Sumber: Bernama

Belajar Bahasa Asing Tanpa Kontoversi

December 25, 2009

OLEH: ANWAR RIDWAN, SN 10

Menguasai bahasa-bahasa asing akan memberi kelebihan kepada seseorang. Wira Melayu Hang Tuah dilakarkan sebagai pahlawan yang turut menguasai berbelas-belas bahasa asing. Melalui penguasaan bahasa-bahasa asing, Hang Tuah mampu bersemuka dengan sesiapa sahaja, kerana ia menguasai bahasa-bahasa tersebut, di samping memahami psikologi dan budaya penuturnya.

Hang Tuah belajar bahasa asing dengan cara yang betul, tanpa sebarang kontroversi. Ia berguru kepada guru atau munsyi bahasa pada zamannya. Ia belajar bahasa asing untuk beberapa tujuan kemahiran, terutamanya kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Untuk memberikan kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur kepada Hang Tuah, pastilah munsyi-munsyi bahasanya menggunakan sistem atau kaedah pengajaran dan pembelajaran yang tertentu.

Proses yang pernah dilalui oleh Hang Tuah itu merupakan proses lazim ketika mempelajari sesuatu bahasa asing. Ia juga merupakan proses yang universal. Kaedah universal tersebut kemudian dirumuskan oleh ahli-ahli bahasa moden, khususnya dalam bidang linguistik terapan.

Menurut linguistik terapan, sesuatu bahasa asing itu dipelajari untuk memperolehi salah satu atau kedua-dua kemahiran berikut : Pertama, kemahiran penerimaan atau receptive skill. Kedua, kemahiran penghasilan atau productive skill. Kemahiran penerimaan merujuk kepada kebolehan (a) mendengar, dan (b) membaca. Sementara kemahiran penghasilan merujuk kepada kebolehan (c) bertutur, dan (d) menulis.

Oleh itu sesiapa yang ingin mempelajari bahasa asing, mestilah terlebih dahulu menentukan tujuan yang ingin dicapai. Adakah ia ingin memiliki kemahiran mendengar, supaya apabila ia mendengar bahasa asing itu dituturkan, maka ia memahaminya? Adakah ia ingin memiliki kemahiran membaca teks bahasa asing, walaupun ia tidak mempunyai kemahiran mendengar dan bertutur dalam bahasa tersebut? Adakah ia ingin memiliki kemahiran bertutur, walaupun tidak boleh membaca dan menulis dalam bahasa asing tersebut? Adakah ia ingin memiliki kemahiran menulis, walaupun tidak menguasai kebolehan mendengar serta bertutur dalam bahasa asing tersebut? Atau ia ingin memiliki keempat-empat kemahiran itu, iaitu mendengar, membaca, bertutur dan menulis? Modul dan kurikulum pengajaran khas akan disediakan bagi mencapai tujuan-tujuan kemahiran tersebut.

Seorang pemandu pelancong umpamanya, lebih memerlukan kemahiran penghasilan, yakni dalam aspek pertuturan. Terdapat pemandu pelancong tempatan yang boleh bertutur dengan pelancong Jepun dan Korea, tetapi pemandu pelancong tersebut tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis dalam bahasa Jepun atau Korea.
Bagi seseorang penyelidik atau penyiasat yang bergantung pada bahan-bahan bertulis atau teks, mereka lebih memerlukan kemahiran penerimaan, yakni dalam aspek membaca teks asing. Umpamanya, penyelidik atau penyiasat tersebut boleh memahami tulisan Siam atau Tagalog, tetapi mereka mungkin tidak menguasai kemahiran mendengar dan bertutur di dalam bahasa Siam atau Tagalong.

Namun bagi pelajar-pelajar yang digalakkan menguasai bahasa lain sebagai bahasa asing atau bahasa kedua, mereka biasanya dilatih untuk memiliki kemahiran penerimaan (receptive skill) dan kemahiran penghasilan (productive skill). Dengan ayat yang lain, mereka harus menguasai kebolehan mendengar, membaca, bertutur dan menulis dalam bahasa asing yang dipelajari.

Demikianlah kita menyaksikan pelajar-pelajar kita yang akan ke Jepun dapat menguasai bahasa Jepun. Yang akan ke Korea dapat menguasai bahasa Korea. Yang akan ke Jerman dapat menguasi bahasa Jerman. Yang akan ke Timur Tengah dapat menguasai bahasa Arab. Pelajar-pelajar tersebut menguasai kebolehan mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa-bahasa asing tersebut.

Apabila pelajar-pelajar kita tiba di Jepun, Korea, Jerman, Timur Tengah dan sebagainya, kemahiran bahasa itu digunakan untuk mempelajari ilmu-ilmu selain bahasa, umpamanya kejuruteraan, perubatan, ekonomi, seni bina, matematik dan sebagainya.
Kejayaan pelajar-pelajar kita yang terlebih dahulu menguasai bahasa asing sebelum dihantar ke luar negara, untuk mempelajari subjek berasaskan sains – dan berjaya pula, membuka ruang polemik yang bersifat kontekstual.

Dalam aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa, pelajar-pelajar kita itu, seperti juga tradisi Hang Tuah, mempelajari bahasa asing dalam kelas-kelas bahasa, melalui guru yang terlatih, serta modul dan kurikulum yang sesuai. Di sinilah polemik bermula. Mungkinkah pengajaran dan pembelajaran bahasa asing pelajar-pelajar kita itu boleh mencapai prestasi memuaskan dalam tempoh yang relatif singkat, jika pengajaran bahasa asing itu menumpang subjek lain, katakanlah sains dan matematik? Jawapannya tentu ‘tidak’, kerana kemahiran-kemahiran penguasaan bahasa, seperti yang telah digariskan linguistik terapan, telah dicampur-aduk dengan pengajaran ilmu yang kurang mementingkan aspek linguistik.

Inilah yang menjadi salah satu punca penolakan terhadap PPSMI. Mereka yang menolak PPSMI bukanlah anti bahasa asing. Mereka menolaknya, antara lain kerana berpendapat bahawa receptive skill dan productive skill daripada pembelajaran bahasa Inggeris itu tidak akan berkesan. Hal ini demikian kerana dasar yang telah digariskan oleh linguistik terapan telah diketepikan. Akibatnya, tujuan mengajar ilmu dan bahasa telah dicampur-aduk, melalui kemahiran guru yang diragukan (untuk menguasai bahasa Inggeris dan sains/matematik sekali gus), serta modul dan kurikulum yang mengelirukan (kerana cuba mencantumkan dua ‘spesis’ yang berbeza).

Sebab itulah para penentang PPSMI sering menegaskan, usaha untuk memperkuatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita mestilah dilakukan di dalam kelas-kelas bahasa. Apabila para pelajar kita belajar bahasa Inggeris dengan matlamat kemahiran yang jelas, serta di dalam kelas yang sistematik dan intensif dengan bantuan guru, modul dan kurikulum yang sesuai, maka mereka boleh menguasai bahasa asing ini dengan berkesan.
Contoh yang sama telah ditunjukkan oleh para pelajar kita yang mempelajari bahasa Jepun, Korea, Jerman, Arab dan sebagainya. Melalui kelas yang sistematik dan intensif, dibantu pula dengan guru, modul dan kurikulum yang sesuai, dalam tempoh yang relatif singkat mereka menguasai bahasa-bahasa asing tersebut.

Para pelajar kita yang menguasi bahasa asing dan menyambung pelajaran di Jepun, Korea, Jerman, Timur Tengah dan sebagainya, telah ramai yang pulang membawa kejayaan. Ini menunjukkan bahawa bahasa asing yang dipelajari secara sistematik di kelas-kelas bahasa, menjadi kunci untuk membuka ilmu-ilmu dalam bahasa tersebut, seperti perubatan, kejuruteraan, matematik, kimia dan sebagainya.

Hal ini sepatutnya berlaku juga kepada bahasa Inggeris, tanpa perlu menumpang dalam subjek sains dan matematik. Jika bahasa Inggeris diajarkan agar pelajar memperolehi receptrive skill seperti mendengar dan membaca, serta productive skill seperti bertutur dan menulis, selepas itu melalui kunci bahasa ini, mereka boleh membuka ilmu-ilmu dalam bahasa Inggeris ini.
Inilah yang ingin dilihat oleh mereka yang tidak bersetuju terhadap pelaksanaan PPSMI. Biarlah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris diperkuatkan di dalam kelas-kelas bahasa Inggeris, dibantu oleh guru yang berkemahiran, dan modul serta kurikulum yang sesuai dan berkesan.

Untuk membentuk modul dan kurikulum yang berkesan, wajar difikirkan usaha peluasan terhadap dua kemahiran utama itu, yakni receptive skill dan productive skill. Dalam hubungan ini, kemahiran mendengar, membaca, bertutur dan menulis para pelajar bahasa Inggeris, wajar turut mengutip contoh-contoh daripada teks atau wacana bidang ilmu dan sub-bidang ilmu-ilmu penting dewasa ini.

Namun dalam dunia yang pesat berkembang serta maju ini, janganlah pandangan kita ditumpukan kepada bahasa Inggeris sahaja. Telah sampai masa untuk kita meluaskan horison pembelajaran bahasa asing. Bahasa Arab umpamanya, wajar dipelajari oleh semua pelajar Melayu, dan pilihan kepada pelajar bangsa lain. Bahasa Mandarin patut menjadi pilihan semua pelajar. Demikian juga dengan beberapa bahasa dunia yang lain, yang mempunyai kepentingan serta nilai ekonomi, diplomasi dan kebudayaan.

Akan tetapi pembelajaran bahasa-bahasa asing ini, mestilah melalui kelas-kelas bahasa, dibantu oleh guru yang berketrampilan, serta modul dan kurikulum yang sesuai. Inilah praktik pembelajaran dan pengajaran bahasa yang universal.

Sumber: http://1anwarridhwan.blogspot.com/

Keyakinan kepada rakyat

December 25, 2009

OLEH: ANWAR IBRAHIM

Kita mengadakan konvensyen ini sebagai menyambut suara rakyat. Rakyat telah bersuara pada 8hb Mac 2008. Dan suara rakyat semakin lantang.

APAKAH YANG RAKYAT MAHU?

Rakyat telah memberikan kita sedikit kepercayaan. Tsunami politik 2008 memcerminkan rakyat telah muak dengan kerenah rasuah, politik perkauman dan taktik jelek adu domba Umno-BN. Mereka marah dengan skandal V K Lingam, dan tatkala harga petrol melabung mereka tidak yakin BN bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

Maka rakyat memberikan dokongan kepada gagasan Keadilan, DAP dan Pas. Jika kita lihat persiapan jentera pilihanraya, kerjasama antara parti-parti kita yang masih longgar, dan kita melihat pula jaganath pilihanraya Umno-Bn, dengan propaganda licik dan penuh fitnah, semua merasa mustahil kita mampu memperoleh kemenangan yang begitu besar. Tidak ada pendita politik yang mempercayainya, dan sebahagian besar kita sendiri tidak mempercayainya.

Tetapi rakyat memberikan kita kepercayaan. Maka kita harus insaf dan bersifat tawadhu. Kita memperoleh kemenangan tersebut bukan kerana kekuatan kita atau jentera parti. Kita di Dewan Rakyat, di tampuk pemerintahan negeri kerana rakyat memberikan kita sedikit keyakinan. Kita jangan sekali jadi seperti kaduk naik junjung.

Rakyat mahu mencuba kita, rakyat mahu menguji kita. Maka kita jangan mengkhianati kepercayaan tersebut. Kita perlu yakin dengan kebijaksanaan rakyat. Meskipun mereka dihujani dengan propaganda murahan, dan mereka disekat dengan pelbagai instrumen pemerintahan, tetapi bila tiba saatnya, rakyat akan membuat pilihan dan penentuan yang benar dan adil.

Maka kita mengadakan konvensyen ini bukan untuk mencerca dan mengkritik BN dan Umno. Pemerintahan yang ada sekarang sudah kehilangan keabsahan moral, legitimasi moral mereka sudah terhapus. Kita berada di sini untuk mengungkapkan dasar dan kebijakan Pakatan Rakyat, bukan sekadar sebagai gabungan parti-parti politik, tetapi juga sebagai gerakan politik. Pakatan Rakyat is not merely a political alliance, it is first and foremost a political movement.

Perjuangan yang kita bawa ini bukan milik parti-parti politik semata-mata. Agenda perubahan, agenda reformasi yang kita bawa turut menjadi milik lembaga swadaya masyarakat (NGO), blogger, pemikir, penyair dan seniman.

Dengan kepercayaan rakyat yang kita perolehi kita kini berada di persimpangan zaman. Kita tidak berjuang sekadar untuk mengganti satu kekuasaan dengan kekuasaan yang lain. Kita tidak berjuang untuk membuat perubahan runcit-runcitan. Kita berjuang untuk membuat perubahan besar, big change, fundamental change. Semangat dan hati nurani rakyat menuntut ini dan mendorong kita membuat lompatan yang jauh. Maka kita perlu ada keberanian kebenaran, the courage of truth, keyakinan terhadap semangat rakyat, faith in the power of the spirit of the people.

II. FALSAFAH KEBANGSAAN

Apa yang hendak kita lakukan adalah tidak lain dari membina semula sebuah bangsa dan sebuah Malaysia yang berteraskan kekuatan moral rakyat. Dan kekuatan moral rakyat adalah berteraskan prinsip karamah insaniah, kemuliaan darjat insaninya “walakad karamna bani Adam.” Prinsip ini turut diungkapkan oleh seorang pejuang kemanusiaan dan rakyat; Martin Luther King, “A nation where its people will not be measured by the color of their skin but by the content of thier character.” Rakyat sudah merdeka 50 tahun, dan rakyat mahu keluar dari kepompong perkauman yang dibikin oleh ahli-ahli politik yang berfikiran kecil dan sempit.

Maka yang mendasari segala dasar dan kebijakan yang kita bentangkan hari ini adalah prinsip moral sejagat. Ini bukan gimik politik. Kita yakin perjuangan yang tidak dipandu oleh prinsip moral sejagat akan menemui jalan buntu, tidak akan membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua.

Kita berpegang kepada prinsip moral kerana rakyat mahu ahli-ahli politik meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud. Inilah falsafah kebangsaan yang kita maksudkan, satu kebangsaan yang inklusif, adil, tanpa diskriminasi. Surah al Hujurat ayat 13 jelas menganjurkan agar kita meninggalkan perkauman sempit ini:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Prinsip karamah insaniah dan litaarafu inilah yang menggembeling keyakinan baru di kalangan umat Melayu dan bumiputera untuk membanteras sikap perkauman dan membantah sebarang dasar yang meminggirkan golongan lain atas pertimbangan ras. Justeru itu jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan rasisme yang baru, dengan membidas perkauman Umno semata-mata dari perspektif kepentingan kaum tertentu. Kepada kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan Melayu, ingin saya jelaskan di sini perkauman sempit tidak boleh ditewaskan dengan perjuangan serta tuntutan perkauman sempit juga.

Jika ini berlaku, maka tidak akan ada kemajuan dalam perjuangan melawan perkauman. Perjuangan melawan perkauman hanya akan berjaya jika didorong oleh keadilan sejagat dan kesederhanaan sikap.

Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mempunyai moral resources, khazanah akhlak, yang kaya untuk memerangi fikiran sempit dan perkauman, dan menggantikannya dengan keadilan sejagat untuk semua, menghapuskan prasangka dan menyemai benih persaudaraan insaniah. Inilah yang dituntut oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah apabila ditanya mengenai persaudaraan sesama insan:

Akhukum fil Insaniah (Persaudaraan sesama insan) yang mana turut bergema dalam tradisi tamil: ontre kulam oruvane thevan ( satu jiwa kerana kemanusiaan) dan juga dalam tradisi cina yang diungkapkan oleh mahaguru Kung dalam kitab Lun Yu,“si hai zhi nie jie xiong di” yang membawa maksud (empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara)

III. MENJANA MUAFAKAT

Saya menghargai keringat dan buah fikiran rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama yang sanggup berbincang secara terbuka dan ikhlas. Ini belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Maka hari ini kita mencipta sejarah. Bukan mudah untuk sampai kepada suatu muafakat yang boleh disebut sebagai overlapping consensus sepertimana yang diungkapkan oleh filasuf John Rawls. Proses perbincangan yang intense dan rancak dari kalangan yang berbeza latar, fahaman dan kepercayaan. Kita menghormati falsafah perjuangan parti-parti masing, yang punya sejarah gemilang dan getir melawan kerakusan kuasa dan mengalami pelbagai bentuk penindasan. Kita berbincang secara terbuka dan ikhlas. Perkara-perkara yang selama ini dianggap sensitif kepada parti masing-masing dan kaum-kaum tertentu. Kerana ada kejujuran maka kita berjaya mencapai muafakat.

Dengan muafakat yang kita perolehi, bangsa Malaysia boleh berrgerak ke hadapan mengharungi abad ke 21 dengan penuh keyakinan, bangsa Melayu punyai keyakinan, bangsa Cina perolehi keyakinan, bangsa India perolehi keyakinan, bangsa Iban perolehi keyakinan dan bangsa Kadazan perolehi keyakinan. Kita tidak membina satu muafakat dengan rasa ketakutan atau rasa tidak selamat.

IV. EKONOMI

Cabaran terbesar yang dihadapi oleh negara adalah dalam sektor ekonomi. Jika ekonomi lembap, kesejahteraan rakyat akan terhakis, ramai rakyat akan hilang pekerjaan. Dasar-dasar yang ada sekarang menyebabkan negara kita jauh ketinggalan dengan negara-negara di rantau ini seperti Singapura, Korea Selatan dan Taiwan. Pakatan Rakyat ingin merangka satu dasar yang akan mengembalikan Malaysia di barisan pertama dengan negara-negara termaju di rantau ini. Kita mesti melakukan satu reformasi ekonomi yang mampu meransang daya saing, kecekapan dan produktiviti. Dan unsur bersepadu daam reformasi tersebut adalah menjaga kepentingan rakyat melalui satu kerangka keadilan sosial. Kita perlu memastikan pengagihan yang saksama dan menumpukan pertolongan kepada anggota masayarakat yang paling lemah, tanpa mengira kaum atau kumpulan. Kita akan mengadakan kerangka-kerangka dan kebijakan-kebijakan untuk menarik pelabur asing demi meransang pelaburan tempatan. Kita akan mesra dengan usahawan dan memastikan penyertaan bumiputera di dalam ekonomi.

Saya menegaskan di sini sebagai satu Pakatan Rakyat, hati nurani tidak boleh membiarkan sesiapapun di kalangan rakyat tidak memperolehi taraf kehidupan yang manusiawi, seperti rumah, pendidikan, pengangkutan dan lain-lain perkara asas. Malaysia adalah sebuah negeri yang kaya, usahawan kita berdaya saing dan produktif. Pekerja-pekerja rajin dan tekun dan kita mempunyai penjawat-penjawat awam yang berdisiplin. Dengan gabungan kesemua ini tidak mustahil dalam masa 15 tahun, Malaysia akan kembali ke barisan pertama negara-negara maju di rantau ini.

V. WANITA

September yang lalu telah terbit kajian yang berjudul The Female Economy dalam makalah Harvard Business Review. Menurut kajian makalah tersebut, ketakjuban ekonomi terkini bukanlah ekonomi China ataupun India, ataupun ekonomi kedua-duanya digabungkan. Ketakjuban ekonomi itu ialah ekonomi kaum hawa. Pendapatan kaum hawa seluruh dunia untuk tahun 2009 sahaja berjumlah USD 13 trillion, lebih besar dari gabungan KDNK China dan India untuk tahun ini; masing-masing sekitar USD 4.4 trillion dan USD 1.2 trillion. Pada masa 5 tahun akan datang jumlah jumlah pendapatan kaum hawa dijangka mencecah USD 18 trillion, manakala gabungan KDNK India dan China hanya pada angka sekitar USD 8.4 trillion. Maka seperti gejala globalisasi, kebangkitan ekonomi hawa adalah satu gejala yang tidak boleh dihentikan atau diterbalikkan(unstoppable dan irreversible). Oleh itu dalam dokumen Dasar Pakatan Rakyat, terdapat khusus satu bab mengenai wanita.

VI. GOLONGAN MUDA

Golongan muda seharusnya mempunyai serta memperlihatkan keyakinan yang tinggi untuk melakukan perubahan. Pakatan Rakyat sedar bahawa golongan muda memainkan peranan penting demi memastikan kejayaan pilihanraya umum yang lepas. Pakatan Rakyat menyedari untuk mengeratkan lagi hubungan antara generasi dan demi merapatkan jurang tersebut, perlu ada satu keputusan berani, bertanggungjawab dan meyakinkan. Kini kita lihat ramai pemimpin muda yang muncul, samada sebagai ahli parlimen mahupun sebagai adun.

Namun ini tidak seharusnya menjadikan anak-anak muda khususnya yang bersama Pakatan Rakyat cepat berpuas hati. Kita mempunyai agenda yang lebih penting, iaitu menterjemahkan janji-janji serta dasar-dasar yang kita ungkapkan. Oleh demikian pemimpin muda Pakatan, di semua peringkat, perteguhkan tekad, kefahaman serta gerak kerja berdasarkan garis besar perjuangan Pakatan Rakyat. Kita mesti meyakinkan golongan muda betapa Perubahan merupakan perkara asasi, fundamental, bukan sahaja untuk generasi sekarang, juga untuk generasi masa depan.

VII. ALAM SEKITAR

Tatkala kita merumuskan dasar Pakatan Rakyat ini, sedang berlangsung Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Copenhagen. Persidangan yang lebih dikenali sebagai COP 15 itu sungguh mustahak bagi mendapatkan persetujuan serta kesanggupan masyarakat antarabangsa untuk memastikan kelangsungan bumi yang kita diami ini.

Kita akui pembangunan sememangnya penting namun ini tidak bermakna kerusakan yang berlaku terhadap alam harus diiyakan sahaja. Makanya kebelakangan ini, laporan seumpama Stern Review, berupaya menjadi garis panduan melakar dasar nasional yang mengembalikan hala tuju pembangunan ke landasan yang tepat di samping memastikan agenda alam sekitar dan kelangsungan bumi tidak terabai. Pakatan Rakyat bersama dengan masyarakat antarabangsa yang prihatin menyatakan iltizam serta tekad untuk menangani isu perubahan iklim dan berusaha untuk mengurangkan pengeluaran karbon.

VIII. KEBUDAYAAN

Bangsa Malaysia yang kita gagaskan bukanlah satu bangsa yang eka dimensi-one dimensional nation. Kita tidak mahu Malaysia menjadi sekadar bangsa ekonomi, meskipun ekonomi itu amat penting untuk kesejahteraan. Kita mahu bangsa Malaysia itu satu bangsa yang syumul, bangsa yang mempunyai ketinggian akal budi dan segar lagi kreatif dalam pengucapan kebudayaan. Justeru itu antara unsur penting dalam Dasar Pakatan Rakyat adalah Muafakat Kebudayaan Baru. Ia tidak lain sejajar dengan semangat kemerdekaan negara yang kemudiannya perlu digilap lanjutan dari Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971).

IX. PENUTUP

Hari ini kita mencipta sejarah. Tetapi ini hanyalah titik permulaan. Dasar Pakatan yang akan dimeterai sebentar lagi adalah garis besar perjuangan rakyat. Dasar-dasar ini adalah moral compass dalam perjungan politik kita. Pakatan Rakyat akan berlayar jauh, maka kita perlu ada kesatuan fikrah, kesatuan pemikiran dan sentiasa berada di garis tengah. Kita perlu mematuhi ethics of coalition, Etika Pakatan.

Setiap kumpulan punya tuntutannya sendiri dan mempunyai legitimasi dan keabsahannya. Tetapi kita juga perlu melihat urutan keutamaan kerana tidak semua tuntutan boleh ditangani dengan sekaligus. Maka kita tidak boleh melihat tuntutan political constituency masing-masing tanpa melihat dan mempertimbangkan political constituency rakan-rakan kita. Perlu ada sikap empathy, keprihatinan terhadap pelbagai sektor dan constituency rakan –rakan kita.

Justeru menjayakan agenda Pakatan Rakyat adalah menjadi prasyarat untuk mendapat dokongan penuh dan keyakinan rakyat. Hanya dengan keyakinan rakyat , bahawa rakyat yakin kita bersatu hati, kita akan memperolehi kemenangan. InsyaAllah.

Sumber: http://www.harakahdaily.net/

Sistem dua parti ilusi kaum pemodal

December 14, 2009

OLEH: HISHAMUDDIN RAIS

Pada tahun ini, wacana politik dalam negara kita cuba menyebarkan berita tentang kemungkinan terwujudnya sistem dua parti – BN dan Pakatan Rakyat.

Malah huha huha tentang sistem dua parti ini telah tersebar lama. Ada yang tersenyum gembira seperti malam pertama berdua-duaan di bilik bersama kekasih sewaktu mendengar kemungkinan ini.

Sistem dua parti ini satu penipuan – satu ilusi yang dirancang oleh kaum pemodal; satu pemesongan projek demokrasi yang amat terancang untuk mengaburi mata orang ramai agar gagal melihat intipati politik dan makna hakiki demokrasi.

Lalu saya bertanya, siapa yang dapat membezakan Pepsi dengan Coke? Siapa yang dapat membezakan Adidas dengan Puma? Hakikatnya, pemilik saham Pepsi juga pemilik saham Coke.

Hakikatnya, Puma dan Adidas dua beradik yang membuka peniagaan yang sama – satu kedai di kiri jalan dan sebuah lagi di kanan jalan. Kedua-duanya mengamalkan sistem kapitalis yang berlandaskan keuntungan. Perbezaannya, hanya ejaan yang bermula dengan A dan P.

Kita wajib sedar bahawa kaum pemodal akan terus merancang untuk memastikan kepentingan ekonomi mereka selamat. Apa yang mereka pertahankan bukan seekar kebun getah atau sebuah Kancil.

Yang mereka pertahankan, sistem ekonomi kapitalis yang selama 150 tahun ini telah mengembungkan saku dan dompet mereka. Sistem ini telah menjadikan mereka senang- lenang dan kaya-raya dengan harta berbilion-bilion dolar dan ringgit.

Kuasa yang mengancam dan menyusahkan kehidupan umat manusia di dunia hari ini sebenarnya kuasa kaum pemodal. Kaum pemodal inilah yang merancang untuk memastikan parti apa yang naik dan parti apa yang turun.

Siapa dapat jadi menteri dan siapa yang akan dipencenkan. Para politikus dalam sistem kapitalis ini hanyalah Mat Heboh yang diupah berlabun di Parlimen untuk menggubal undang-undang dan memastikan kepentingan kaum pemodal dijaga rapi.

Perhatikan bagaimana undang-undang yang diluluskan di Parlimen TIDAK akan dan TIDAK pernah menyebelahi kepentingan kaum buruh atau kaum pekerja. Perhatikan, cukai yang dikenakan. Pemotongan cukai untuk kaum pemodal akan diutamakan.

Dalam masa yang sama, mereka yang miskin akan berselirat dengan cukai. Kalau tidak percaya, sila tunggu cukai baru: cukai barang dan khidmat. Akan terlondeh seluar dalam Mak Minah dan akan tergadai kapcai Pak Ali apabila cukai ini sampai.

Jika masih belum yakin biar saya nyatakan satu lagi contoh terbaik. Lihat apa yang terjadi kepada dasar kerajaan Pakatan di Selangor yang melarang bangunan didirikan di lereng bukit.

Dasar ini cita-cita Pakatan Rakyat ketika berkempen untuk membawa kebaikan dan keselamatan kepada warga. Lihat pula apa yang berlaku di belakang tabir. Kaum pemodal – pemaju dan para kontraktor telah – melobi dan akhirnya larangan ini ditarik kembali. Kenduri menarah bukit diteruskan semula.

Lihat pula apa yang terjadi apabila berlaku runtuhan di Bukit Antarabangsa. Laporan yang ingin diumumkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal kerana laporan ini diikat oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Akta seperti ini semuanya diwujudkan untuk memastikan kaum pemodal – syarikat pemaju , kontraktor dan syarikat bekalan air – terselamat dan keuntungan mereka terjamin. Yang mati terkambus telah selamat ditalkinkan, jangan buat bising lagi, biarkan badan mereka dimakan cacing!

Kenyataan ini bukanlah tohmahan, propaganda atau berita putar yang saya ajukan kerana saya muflis dan tidak memiliki harta kekayaan. Ia adalah hakikat di hadapan mata kita. Buka mata dan dengar. Buka telinga dan lihat.

Klik komputer dan baca. Jangan menjadi Mat Malas. Ketuk kepala lutut dan goncangkan kepala untuk berfikir. Nilai dan fahami mana tohmahan, mana pula yang putar alam dan apa itu kebenaran

Kaum pemodal dan para kapitalis bergerak dengan licik. Ketika ini kaum pemodal di Malaysia melihat dan membaca tanda-tanda politik yang sedang berlaku di dalam negara ini.

Mereka menyedari bahawa gaya dan politik lama yang selama ini membawa keuntungan yang amat lumayan tidak mungkin akan berterusan.

Apa yang terjadi pada 8 Mac 2008 mengajar mereka untuk memahami bahawa warga dalam negara ini mahukan perubahan dan sedang menuntut hak demokrasi mereka.

Dengan arif dan dengan wang ringgit, kaum pemodal merancang untuk melahirkan apa yang dipanggil “sistem dua parti”. Contoh sistem dua parti ini sedang kita lihat berjalan dengan lancar di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Di UK. ada Parti Konservatif dan Parti Buruh, di Amerika ada Parti Republikan dan Parti Demokrat.

Parti-parti ini bertukar ganti untuk menjalankan pentabiran. Thatcher dari Parti Konservatif akhirnya diganti oleh Tony Blair dari Parti Buruh. George Bush Sr dari Republikan diganti oleh Bill Clinton dari Demokrat. Kemudian Clinton diganti oleh George Bush Jr yang kemudiannya digantikan pula oleh Barack Obama dari Parti Demokrat.

Parti politik dan susuk yang memimpin pentabiran kelihatan bertukar berganti. Tetapi hakikatnya sistem ekonomi kapitalis tidak berubah. Beginilah silap mata Pepsi Cola dan Coca Cola yang selama ini telah berjaya menipu.

Kapitalisme tidak berganjak. Kaum pemodal tidak hilang keuntungan walau parti mana pun yang naik atau turun.

Justeru, perubahan antara Demokrat kepada Republikan atau Konservatif kepada Buruh hanyalah satu ilusi untuk menipu orang ramai. Tidak ada apa-apa perubahan hakiki yang telah berlaku.

Tuan punya bank masih kaya-raya. Tuan punya kilang masih memerah tenaga buruh murah. Para kontraktor masih membalon orang ramai. Cukai masih di tahap yang sama. Kaum pemodal terus melipatkangandakan keuntungan.

Orang ramai dan para pengundi digula-gulakan dengan perubahan daripada parti ini kepada parti itu; daripada presiden yang ini kepada presiden yang itu. Beginilah helah kaum pemodal agar orang ramai tidak akan menuntut perubahan sistem yang sedia ada.

Dalam kempen-kempen pilihan raya, kita akan mendengar labon dari Mat Heboh yang ingin menjadi YB. Teliti dengan rapi: mereka semuanya berjanji untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih baik daripada yang sedia ada.

Apa sebenarnya janji-janji para Mat Heboh bakal YB ini? Mereka berjanji akan menjalankan pentabiran dengan lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih. Ertinya mereka berjanji akan menjadi Mat Heboh yang lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih kepada kaum pemodal.

Merekalah Mat Heboh yang terbaik untuk mengendalikan sistem ekonomi kapitalis ini.

Tidak pernah kita mendengar bahawa yang haprak dan yang membawa kemudaratan terhadap umat manusia hari ini ialah sistem ekonomi kapitalis yang mengajukan rukun imannya: keuntungan maksimum.

Rukun iman inilah yang sedang membawa porak-peranda kepada kita semua hari ini. Keuntungan maksimum yang dijadikan rukun iman ini akan membolehkan apa sahaja dilakukan asalkan ia membawa untung.

Balak dikeluarkan kerana ia membawa untung. Pelacur datang dari China kerana ia membawa untung. Hospital diswastakan kerana ia membawa untung. Dadah diniagakan kerana ia membawa untung.

Jika kita menyedari hakikat ini, maka kita tahu bahawa sistem dua parti ini hanyalah kong kalikong. Tidak ada apa-apa perubahan hakiki yang akan berlaku jika yang diajukan untuk dipilih hanyalah “siapa yang lebih cekap” mentabir sistem kapitalis.

Adakah BN lebih baik untuk keuntungan kapitalis atau Pakatan Rakyat yang akan mentabir dengan baik sistem kapitalis ini? Jika inilah persoalannya, maka saya jamin kita semua kena tipu oleh kaum pemodal dengan sistem dua parti yang sedang mereka rancangkan.

Apa yang seharusnya kita tuntut bukan sistem dua parti; bukan siapa yang lebih cekap dan lebih amanah mentabir sistem kapitalis. Yang wajib menjadi rukun iman kita, menghancurkan sistem ekonomi yang berasaskan keuntungan maksimum.

Yang menjadi rukun iman, kita berjuang untuk melahirkan sistem ekonomi yang berasaskan kebajikan untuk umat manusia.

Sistem dua parti atau dua ratus buah parti ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki jika kita masih lagi dalam sistem ekonomi yang berimankan keuntungan maksimum. Apa yang wajib kita sokong bukan mereka yang berijazah, berdatuk, bertun atau berserban – ini semua tidak penting.

Yang penting, mereka yang bangun berjuang untuk melahirkan satu sistem ekonomi yang berimankan kebajikan untuk manusia.

Kita jangan ditipu untuk diberi pilihan sama ada untuk membeli kasut Adidas atau kasut Puma. Kita mahukan kasut kulit yang baru. Kita jangan ditipu untuk memilih Coca Cola atau Pepsi Cola. Kita tidak mahu minuman itu; kita kita mahu air buah avocado yang sihat untuk umat manusia.

SUMBER: http://www.malaysiakini.com/columns/119469

Kenapa Yahudi Inginkan Baitulmaqdis

December 10, 2009

OLEH: NOOR MUZAMMIL MOHAMAD

Pada masa Nabi Daud dan Sulaiman, para Yahudi semuanyaa taat kepada Allah. Nabi Sulaiman mempunyai satu mukjizat iaitu sangat kaya, menguasai angin, jin, mesgastua. Pada zaman tersebut jin tunduk kepada Nabi Sulaiman dan mereka banyak membawakan emas kepada Nabi Sulaiman sehinggakan di bawah laut pun Ifrit tolong ambilkan.

Masa Nabi Sulaiman mengarahkan pembinaan Masjid Al-Aqsa, semua jin patuh dengan perintah tersebut dan mereka membuat dengan bersungguh-sungguh bersama dengan para Yahudi dan manusia lain sampaikan mereka tidak sedar kewafatan Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman wafat ketika berdiri atau duduk atas kerusi semasa memerhatikan jin dan manusia membina Masjid Aqsa. Sampai masa siap sepenuhnya, barulah kewafatan baginda dipertunjukkan dengan anai-anai makan tongkat baginda dan jasad baginda terjatuh. Ini nak menunjukkan bahawa jin juga tidak mengetahui perkara ghaib.

Selepas kewafatan baginda, Yahudi telah berpecah belah dan kembali ke tabiat lama mereka, menyembah berhala dan melakukan penindasan. Ada juga yang masih taat menyembah Allah, namun banyak dari mereka kembali menyembah berhala Baal, berhala Dagon (seperti lambang Starbuck), berhala Jehovah, berhala Osiris dan ada juga yang menyembah syaitan (Baphomet dan Lucifer)

Para penyembah syaitan ini telah membina satu lagi bangunan berdekatan Kompleks Masjidil Aqsa yang mana mereka namakan Solomon Temple untuk melakukan ritual penyembahan syaitan dan akan menjadi istana kepada al-Masih Dajjal. Ini diketuai oleh King Hiram the Thyre. Mereka mengangkut kebanyakan emas yang dipercayai banyak di Masjid Aqsa ke Solomon Temple tersebut.

Selepas banyak melakukan penindasan, mereka diserang oleh kaum Assyria yang memusnahkan kota mereka dan mereka bangun semula. Selepas itu pula diserang habis-habisan oleh kerajaan Rom yang memusnahkan kota Yahudi sehingga menjadi padang jarak padang terkukur, tinggal satu dinding sahaja yang sekarang menjadi Tembok Ratapan (Wailling Wall) yang mana Barrack Obama dan George W. Bush serta bekas Presiden Amerika yang lain melakukan ritual menangisi di tembok tersebut.

Selepas itu mereka berasimilasi dengan kerajaan Rom dan menjadi pembodek tegar kerajaan Rom. Selepas itu Nabi Isa diutuskan kepada mereka dan mereka rasakan Nabi Isa adalah ancaman terhadap kekuasaan mereka. Lalu mereka menghasut pemerintah Rom supaya membunuh Nabi Isa. Tetapi Nabi Isa diangkat ke sisi Allah secara hidup-hidup dan dengan jasad dan orang lain ditukarkan ke rupa Nabi Isa. nabi Isa akan turun semula menjelang kiamat.

Yahudi sekarang terlalu inginkan Baitulmuqaddis disebabkan mereka percaya masih banyak lagi emas yang belum sempat diangkut oleh mereka sejak dulu. Mereka percaya bahawa dengan emas dan makanan mereka dapat menguasai dunia. Sila baca Protokol of Zion (dari buku The International Jews, Henry Ford)

Protocol No. 22: The Power of Gold

In our hand is the greatest power of our day-Gold: In two days we can procure from our storehouses any quantity we may please.

Dan lagi satu misi yang lebih penting kenapa mereka mahukan sangat Baitulmaqdis adalah untuk membina semula Solomon Temple yang runtuh semasa serangan oleh Rom dahulu agar dapat menjadi Kiblat penyembah syaitan dan juga sebagai istana kepada Raja yang akan ditabalkan oleh mereka menjelang tahun 2020.

Protocol No. 24: King of the Jews

The king of the Jews must not be at the mercy of his passions, and especially of sensuality: on no side of his character must he give brute instincts power over his mind. Sensuality worse than all else disorganizes the capacities of the mind and clearness of views, distracting the thoughts to the worst and most brutal side of human activity.

Kesimpulannya, Yahudi terlalu hendakkan baitulmuqaddis disebabkan EMAS, membina semula Solomon Temple dan menunggu penabalan Raja Yahudi iaitu al-Masih Dajjal yang akan bersemanyam di Solomon Temple tersebut.

SUMBER: http://ibnuyaacob.com/?p=1248


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.